Sunday 5 May 2013

PRU13: Johor akan kekal kubu kuat BN


JOHOR BAHRU: Selepas berkempen selama 14 hari, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat di Johor kini dalam pusingan akhir merayu sokongan untuk calon masing-masing pada pilihan raya yang penting ini. 

Mengikut peraturan pilihan raya, kempen perlu dihentikan pada tengah malam ini.
Maklumat balas awal menunjukkan Johor akan terus kekal sebagai kubu kuat BN meskipun dakwaan sebaliknya oleh Pakatan Rakyat.

Mereka bekerja keras untuk menembusi negeri ini pada pilihan raya kali ini yang diperkukuhkan oleh kehadiran pemimpin utama seperti penasihat DAP, Lim Kit Siang dan naib presiden PAS, Salahuddin Ayub ke Johor untuk mengegarkan negeri itu.

Kit Siang mencuba nasibnya di kerusi Parlimen Gelang Patah, yang juga kubu kuat BN, menentang Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Salahuddin yang selama ini bertanding di Kelantan, membuat keputusan berani untuk bertanding menentang penyandang Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Tengku Putra Haron Aminurrashid, berkata beliau tidak mahu membincangkan impian pakatan PAS-DAP-PKR untuk menawan Johor.
"Saya mahu menekankan apa yang telah dilakukan oleh BN untuk rakyat. BN sudah menunaikan janjinya kepada rakyat. Saya yakin Johor akan terus kekal sebagai kubu kuat BN. Tidak ragu-ragu lagi," katanya.

"Saya yakin pengundi akan menggunakan kebijaksanaan mereka untuk mengekalkan Johor di tangan BN. Ini tidak boleh dipertikaikan lagi," kata Tengku Putra, yang juga timbalan ketua bahagian UMNO Pulai.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata harapan Johor kekal sebagai kubu kuat BN masih tinggi pada pilihan raya umum kali ini.

"Meskipun menghadapi cabaran sukar, penduduk Johor masih positif dapat mengekalkan Johor di tangan BN," kata bekas Ahli Parlimen Kota Tinggi yang tidak bertanding semula kali ini.

"Johor ialah kubu kuat BN. Tidak ada sebab mengapa kita akan dikalahkan. Malah di Gelang Patah, kami akan menang jika semua kita bekerja keras.

Beliau berkata, sepanjang 14 tahun menjadi Menteri Besar, Ghani melaksanakan dasar inklusif dengan semua kumpulan etnik mendapat perhatian yang saksama. - sumber BERNAMA

INILAH CARA JOHOR: DUA CALON DUN NUSAJAYA DUDUK BERSAMA MAKAN SATU DULANG.

Calon BN DUN Nusajaya Dr Hj. Zaini Bin Abu Bakar berbaju Melayu biru dan bersongkok hitam tiada masalah untuk duduk bersama dengan calon pas Salahudin Ayub berdoa bersama sebelum menikmati hidangan dalam satu dulang yang sama selepas menghadiri majlis Asmaul Husna di Masjid Mutiara Rini.

Ini lah yang dinamakan CARA JOHOR atau The JOHOR WAY. Kita rakyat Johor tiada masalah untuk duduk bersama ke arah kebaikan ummah lebih-lebih lagi sesame agama yang berkiblat yang sama dan menyembah Tuhan yang sama iaitu Allah SWT.

Semuga selepas pakatan pembangkang dapat ditumbangkan pada PRU13 ini, pas dan UMNO akan bersatu untuk memperkukuhkan Syiar Islam di Tanahair ini.


Saturday 4 May 2013

MAJLIS PERJUMPAAN PEMIMPIN BN GELANG PATAH BERSAMA MASYARAKAT.


3hb Mei 2013. Jam 8.30mlm. Lokasi Tmn Sutera Utama. Majlis Perjumpaan Pemimpin BN Gelang Patah bersama masyarakat di DUN Nusajaya dan Skudai telah dihadiri oleh YAB Dato’ Hj.Abdul Ghani Bin Othman Menteri Besar Johor yang juga Calon BN Ahli Parlimen Gelang Patah. Calon BN DUN Nusajaya Dr.Hj.Zaini bi Abu Bakar dan Calon BN DUN Skudai En.Liang Ah Chai juga turut sama hadir. Seramai lebih kurang 4500 orang penduduk sekitar DUN Skudai pelbagai kaum telah hadir ke majlis ini. YAB Dato’ Hj Abdul Ghani dengan diiringi oleh kedua-dua Calon DUN Nusajaya dan Skudai telah ke setiap meja menemui setiap  hadirin untuk bermaha mesra dengan mereka. Jelas kelihatan keakhraban antara masyarakat tersebut dengan Dato’ Hj.Abdul Ghani yang mereka anggap sebagai kawan lama. Semangat persahabatan diantara rakan-rakan dalam BN juga dapat dilihat. Manakala D.HjZaini kelihatan diterima dan disambut mesra oleh seluruh masyarakat hadir pada perjumpaan tersebut. Beliau juga kelihatan begitu bersahaja melayan pelbagai telatah masyarakat yang hadir. Mereka berazam akan memenangkan semua calon Barisan Nasional pada PRU13 ini.




Tuesday 30 April 2013

PM disambut meriah di Skudai


JOHOR BAHRU – Kira-kira 35,000 orang, majoritinya terdiri daripada kaum Cina, membanjiri Kolej Universiti Selatan, Skudai di sini malam tadi pada majlis lawatan mesra Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kehadiran begitu ramai rakyat pelbagai berbilang kaum itu memberi isyarat jelas tentang sokongan yang semakin meningkat terhadap Barisan Nasional (BN) terutamanya dalam kalangan masyarakat Cina bukan sahaja di Johor, malah di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Najib menyifatkan sambutan di luar dugaan itu sebagai satu petanda baik untuk BN.

“Saya berasa amat terharu atas sambutan sangat meriah yang diberikan, walaupun dalam dewan nampak tenang tetapi di luar dewan suasananya begitu hangat dengan kehadiran begitu ramai orang,” katanya.

Hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek; calon BN Parlimen Gelang Patah, Datuk Abdul Ghani Othman; calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Nusajaya, Dr. Zaini Abu Bakar; calon BN DUN Skudai, Lim Ah Chy dan calon BN DUN Permas, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pada majlis itu, Najib turut melancarkan tapak bangunan pendidikan antarabangsa baharu kolej berkenaan yang dijangka siap sepenuhnya pada Jun depan.

Ketika berucap pada majlis tersebut, beliau menyatakan persetujuan untuk membina sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Iskandar Malaysia.

“Datuk Chua Soi Lek kata, elok dibina sebuah SJKC di Iskandar Malaysia dan saya beri persetujuan. Kawasan ini bukan sahaja dilengkapi dengan 12 universiti, malah ada sekolah Cina yang memberi peluang kepada ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke sekolah jenis itu,” katanya.

Dalam pada itu, pada sebelah pagi di Pekan Nenas, Pontian, Perdana Menteri ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bersama Rakyat, meminta rakyat Johor mengekalkan imej negeri itu sebagai kubu kuat BN dan UMNO dengan mengundi calon BN pada PRU-13.

Menurut beliau, Johor juga merupakan tempat bermulanya sejarah Malaysia Moden.

Justeru, katanya, rakyat Johor wajib memastikan perjuangan Malaysia Moden dipertahankan daripada pihak yang hanya mahukan kuasa tanpa mempunyai kelayakan mentadbirnya.

“Jangan buta sejarah, kita wajib pastikan perjuangan Malaysia Moden dipertahankan.

“BN bukan semata-mata hendak kuasa tetapi menuntut mandat rakyat sebab kita lebih layak memimpin negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Najib melahirkan keyakinan Johor berupaya mencatatkan kemenangan besar pada PRU-13 berbanding 2008.

Pada PRU-12, BN memenangi 25 daripada 26 kerusi Parlimen, manakala satu kerusi Parlimen berjaya diraih DAP.

Bagi kerusi DUN pula, BN memenangi 50 daripada 56 kerusi, manakala Pas berjaya memperoleh dua kerusi dan DAP empat kerusi. - sumber KOSMO!

Gelang Patah akan dikembalikan kepada MCA


JOHOR BAHRU - Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak malam ini mengumumkan bahawa kerusi Parlimen Gelang Patah akan dikembalikan kepada MCA untuk pilihan raya akan datang.

"Ini hanya sementara sahaja," katanya dalam ucapannya sempena Majlis Ramah Mesra di Kolej Universiti Selatan.

Menurutnya, pada Pilihan Raya Umum ke-13 ini, Barisan Nasional (BN) meletakkan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman sebagai calon kerana yakin beliau merupakan pencabar terbaik kepada lawannya iaitu Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Kerusi Gelang Patah secara keseluruhannya mencatatkan pengundi teramai iaitu 106,864 orang dan secara tradisinya ia ialah milik MCA.

Pengundi Cina membentuk 54 peratus di kawasan tersebut manakala Melayu dan India masing-masing adalah 34 peratus dan 12 peratus.

"Itu sebab, tolonglah sokong Datuk Ghani sebab beliau akan mencerminkan kepercayaan dan keyakinan terhadap masa depan cemerlang Johor dan juga negara, jadi Gelang Patah begitu signifikan sekali," katanya lagi.

Perdana Menteri mendedahkan, pada asalnya Menteri Besar Johor itu enggan bertanding pada pilihan raya kali ini.

"Namun disebabkan kesetiaannya pada parti, Datuk Ghani menerimanya," katanya. - sumber KOSMO!

Thursday 25 April 2013

PRU-13: Kit Siang mangsa mainan politik Anwar - Muhyiddin


JOHOR BAHRU 25 April - Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya Lim Kit Siang telah menjadi mangsa permainan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menerima tawaran bertanding di Parlimen Gelang Patah.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan Penasihat DAP itu meninggalkan penyokong setianya di Ipoh Timur untuk bertanding di kubu kuat Barisan Nasional (BN) kerana yakin Anwar juga akan meninggalkan Permatang Pauh untuk bertanding di Perak.

"Macam inilah ceritanya, bagaimana Kit Siang kena main politik oleh Anwar. Mereka ini kononnya ada muafakat dalam pakatan pembangkang, mereka berdua berpakat, Kit Siang pergi ke Gelang Patah dan Anwar pula akan pergi bertanding di Perak.

"Anwar kemudian datang ke Johor dan umum Kit Siang akan jadi calon DAP di Gelang Patah. Jadi, bila dah umum, Kit Siang sudah terikat di sini dan tidak dapat berbuat apa-apa," katanya semasa berucap pada Majlis Himpunan Rakyat 1Malaysia Bersama Timbalan Perdana Menteri di Dewan Raya Taman Universiti di sini malam tadi.

Muhyiddin berkata, pada masa sama, Anwar masih mencari kawasan yang selamat untuk dia tandingi di Perak tetapi tidak mengumumkannya sehinggalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diajukan soalan mengenai tindakan Ketua Pembangkang itu.

"Jadi, bila dia (Anwar) fikir balik perkara itu, dia pun patah balik ke Permatang Pauh dan akhirnya Kit Siang terikat di kubu kuat BN di Gelang Patah dan meninggalkan tempat lamanya di Ipoh Timur. Jadi, siapa yang kena main di sini," katanya.

Namun kata Muhyiddin, beliau percaya BN Johor mengalu-alukan kedatangan Kit Siang ke negeri ini dan yakin Abdul Ghani tidak gentar dengan perkembangan tersebut sekali gus menyeru semua rakyat negeri ini untuk memastikan Penasihat DAP itu akan berkubur di Gelang Patah. - sumber UTUSAN ONLINE

Wednesday 24 April 2013

PRU-13: Nik Aziz tolak BR1M tapi Salahuddin nak beri lebih banyak


Oleh AZIZI MAJID dan NOR AZAN FITRI
JOHOR BAHRU 24 April - Jika sebelum ini dua pemimpin tertinggi Pas memperkecilkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), hari ini Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub pula berjanji akan memberikan bantuan sama sekiranya pakatan pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Calon pakatan pembangkang bagi kerusi Parlimen Pulai itu berkata, pakatan pembangkang akan memberi bantuan sebanyak RM2,000, berbanding kenaikan sehingga RM1,200 sebagaimana terkandung dalam manifesto BN bagi PRU-13 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

"Saya dah kaji hasil negeri, dah baca report (laporan) daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, dah baca pendapatan negeri. Di bawah pakatan rakyat kita boleh bagi RM2,000, jauh lebih tinggi daripada BR1M Barisan Nasional (BN)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena ceramah Pas di Taman Cempaka, Kempas di sini malam tadi.

Kenyataannya itu bertentangan dengan penghinaan yang dilemparkan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila menyamakan kira-kira empat juta rakyat yang menerima pemberian BR1M sebagai 'memberi hampas padi dan kelapa kepada ayam dan lembu'.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula menyamakan pemberian BR1M seperti zaman Firaun. - sumber UTUSAN ONLINE