Tuesday 30 April 2013

PM disambut meriah di Skudai


JOHOR BAHRU – Kira-kira 35,000 orang, majoritinya terdiri daripada kaum Cina, membanjiri Kolej Universiti Selatan, Skudai di sini malam tadi pada majlis lawatan mesra Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kehadiran begitu ramai rakyat pelbagai berbilang kaum itu memberi isyarat jelas tentang sokongan yang semakin meningkat terhadap Barisan Nasional (BN) terutamanya dalam kalangan masyarakat Cina bukan sahaja di Johor, malah di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Najib menyifatkan sambutan di luar dugaan itu sebagai satu petanda baik untuk BN.

“Saya berasa amat terharu atas sambutan sangat meriah yang diberikan, walaupun dalam dewan nampak tenang tetapi di luar dewan suasananya begitu hangat dengan kehadiran begitu ramai orang,” katanya.

Hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek; calon BN Parlimen Gelang Patah, Datuk Abdul Ghani Othman; calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Nusajaya, Dr. Zaini Abu Bakar; calon BN DUN Skudai, Lim Ah Chy dan calon BN DUN Permas, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pada majlis itu, Najib turut melancarkan tapak bangunan pendidikan antarabangsa baharu kolej berkenaan yang dijangka siap sepenuhnya pada Jun depan.

Ketika berucap pada majlis tersebut, beliau menyatakan persetujuan untuk membina sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Iskandar Malaysia.

“Datuk Chua Soi Lek kata, elok dibina sebuah SJKC di Iskandar Malaysia dan saya beri persetujuan. Kawasan ini bukan sahaja dilengkapi dengan 12 universiti, malah ada sekolah Cina yang memberi peluang kepada ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke sekolah jenis itu,” katanya.

Dalam pada itu, pada sebelah pagi di Pekan Nenas, Pontian, Perdana Menteri ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bersama Rakyat, meminta rakyat Johor mengekalkan imej negeri itu sebagai kubu kuat BN dan UMNO dengan mengundi calon BN pada PRU-13.

Menurut beliau, Johor juga merupakan tempat bermulanya sejarah Malaysia Moden.

Justeru, katanya, rakyat Johor wajib memastikan perjuangan Malaysia Moden dipertahankan daripada pihak yang hanya mahukan kuasa tanpa mempunyai kelayakan mentadbirnya.

“Jangan buta sejarah, kita wajib pastikan perjuangan Malaysia Moden dipertahankan.

“BN bukan semata-mata hendak kuasa tetapi menuntut mandat rakyat sebab kita lebih layak memimpin negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Najib melahirkan keyakinan Johor berupaya mencatatkan kemenangan besar pada PRU-13 berbanding 2008.

Pada PRU-12, BN memenangi 25 daripada 26 kerusi Parlimen, manakala satu kerusi Parlimen berjaya diraih DAP.

Bagi kerusi DUN pula, BN memenangi 50 daripada 56 kerusi, manakala Pas berjaya memperoleh dua kerusi dan DAP empat kerusi. - sumber KOSMO!

1 comment:

hisemudinkasim.blogspot.com said...

Lim Kit Siang turun ke Johor mahu cari kubu baru ! Setelah kubu lamanya yang berselerak dari Bandar Melaka, Kota Melaka, Petaling Jaya, Tanjung, Ipoh Timur semuanya tak lekat lama. Apakah di hujung usia karier politiknya ingin mencari suaka di negeri kelahirannya ? Yang menjaga kubu di Gelang Patah ialah tuannya sendiri iaitu Ghani Othman. Apakah orang Johor khususnya orang-orang Melayu Johor yang memang kuat sentimen menjunjung pemimpin serta di mana Umno dilahirkan di Istana Johor dan dikatakan sebagai kubu kuat Umno rela melihat tuannya gugur di bumi sendiri ? Biar berputih tulang, jangan berputih mata ! Sebenarnya Lim Kit Siang telah tersalah percaturan, yang sedia menunggu ialah kuburnya di Gelang Patah !
Lim Kit Siang bukan sahaja berdepan dengan Ghani Othman di Gelang Patah tetapi juga jentera BN khususnya Umno dari Johor Bahru pimpinan Shahrir Samad dan Khaled Nordin dari Pasir Gudang. Ketiga-tiga ini membentuk segi tiga bagi mempertahankan Gelang Patah. Khaled Nordin pula dijangka akan diangkat sebagai Menteri Besar Johor yang baru. Bolehlah dikatakan seluruh Tanjung Puteri akan membirukan awan supaya roket tidak nampak bulan lalu jatuh kembali menyembah bumi !
http://hisemudinkasim.blogspot.com/2013/04/pru-13-satu-analisa-dan-meramal.html