Tuesday 9 April 2013

PRU-13: PKR umum calon di tujuh kerusi Parlimen di Johor


Oleh ZULHISHAM ISAHAK
LEDANG 9 April - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan tujuh calon baharunya yang akan bertanding di tujuh kerusi Parlimen negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), termasuk kerusi untuk Pengerusi PKR negeri, Datuk Dr. Chua Jui Meng.

Melalui satu ceramah di pekarangan sebuah rumah di pekan Tangkak, di sini kira-kira pukul 11.55 malam tadi, pengumuman dibuat oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan hampir 2,000 penyokongnya.

Anwar memberitahu, Jui Meng akan bertanding di kerusi Parlimen Segamat, manakala bekas calon Parlimen Johor Bahru yang tewas sebelum ini, Hassan Karim iaitu Naib Ketua PKR negeri bertanding di kerusi Parlimen Ledang.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya negeri, Khuzan Mohammad pula akan bertanding di Parlimen Sri Gading; Ketua Biro Pendidikan dan Latihan PKR Wilayah Persekutuan, Onn Abu Bakar di Sembrong dan penulis blog, Julailey Jemadi di Sekijang.

Calon lain ialah Timbalan Ketua PKR Johor, Dr. Ahmad Faidi Saidi di Pasir Gudang; bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Datuk Idris Jauzi di Batu Pahat.

Anwar turut mengumumkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang akan bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah seperti diperkatakan sebelum ini dan mengulangi bahawa bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Hashim Hussien dicalonkan di Johor Bahru.

"Pengarah Pilihan Raya PKR negeri, Steven Chong bertanding di Parlimen Tebrau manakala Pengerusi PKR Parlimen Muar, Nor Hizwan Ahmad bertanding di Parlimen Muar," ujarnya. - sumber UTUSAN ONLINE

No comments: