Wednesday 17 April 2013

PRU-13 ujian kesetiaan penyokong BN


JOHOR BAHRU - Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei ini adalah medan ujian kepada kesetiaan ahli Barisan Nasional (BN) negeri Johor, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Sembrong berkata, PRU-13 adalah yang paling mencabar bagi BN negeri berikutan tumpuan pihak pakatan pembangkang yang membawa masuk ramai calon dari luar untuk bertanding di negeri ini.

"Ini bukan sekadar cabaran yang kuat tetapi juga ujian untuk merapatkan barisan kita bagi menunjukkan kesetiaan kepada parti," katanya selepas majlis pelancaran manifesto BN Johor dan penyerahan watikah calon PRU-13 oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di sini semalam.

Hishammuddin memberitahu, pilihan raya kali ini melebihi kepentingan mana-mana individu atau kumpulan tertentu dan ia merupakan masa untuk memastikan kemenangan parti bagi membuktikan Johor adalah tiang seri BN.

Oleh itu, beliau mahu agar mereka yang tidak dicalonkan bangkit secepat mungkin daripada kekecewaan dan menguatkan azam serta tekad untuk meneruskan perjuangan parti.

Mengenai kerusi Parlimen Gelang Patah, beliau berkata, dengan pengumuman Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman sebagai calon heavyweight kawasan itu, BN mempunyai peluang lebih cerah untuk memenangi kawasan Parlimen itu kerana beliau mempunyai rekod yang bagus dalam melaksanakan pembangunan di Johor.

Sehubungan itu, Hishammuddin berharap sokongan padu daripada ahli BN negeri terhadap Abdul Ghani penting bagi memastikan kemenangan yang bakal menentukan pembangunan berterusan di Gelang Patah yang berada dalam lingkungan kawasan pembangunan Iskandar Malaysia. - sumber Bernama

No comments: