Wednesday 17 April 2013

Calon BN diingat jangan sombong dengan rakyat


MUHYIDDIN (tengah) bergambar bersama Tengku Adnan (tujuh dari kanan) dan Raja Nong Chik (enam dari kiri) serta calon-calon Barisan Nasional Wilayah Persekutuan bagi PRU-13 di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan calon BN yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) agar tidak sombong apabila bertemu dengan rakyat.

Beliau berkata, ia penting untuk memenangi hati pengundi ketika berkempen.

"Jangan sombong, selalu senyum, genggam erat tangan apabila bersalaman, pandang mata pengundi ketika bersalaman dan dengar rintihan mereka betul-betul," katanya pada majlis pengumuman calon PRU-13 BN Wilayah Persekutuan di sini semalam.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin yang diumumkan sebagai calon bagi kerusi Parlimen Lembah Pantai.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau yakin BN akan memperoleh lebih banyak kerusi di 13 kawasan Wilayah Persekutuan kerana 800,000 pengundi di kawasan itu amat arif mengenai pelaksanaan program kerajaan BN selama ini.

Jelasnya, setelah mengharungi cabaran pada PRU-12 tahun 2008 dengan BN hanya memenangi tiga kerusi di Wilayah Persekutuan, beliau yakin transformasi yang telah dilaksanakan kerajaan dalam tempoh empat tahun lalu mampu mengubah persepsi pengundi.

"Kerajaan pimpinan BN telah melaksanakan pelbagai inisiatif melalui NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat ke arah negara berpendapatan tinggi.

"Kita yakin orang di Wilayah Persekutuan orang yang bermaklumat, (mereka) tahu apa yang berlaku di dalam kerajaan dan parti.

"Saya percaya mereka melihat apa dilakukan kerajaan dan impak usaha itu kepada mereka," katanya.

BN menguasai Putrajaya, Setiawangsa dan Labuan daripada 13 kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan pada PRU-12.

Pada majlis itu, BN menampilkan 12 muka baharu pada pilihan raya umum kali ini dengan hanya mengekalkan penyandang kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Dalam pada itu, pada majlis perjumpaan khas dengan guru-guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Johor di SJKC Foon Yew di Johor Bahru pada sebelah petang, Muhyiddin berharap Ketua MCA Bahagian Gelang Patah, Jason Teoh akan menghormati keputusan pucuk pimpinan BN yang meletakkan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman sebagai calon kawasan Parlimen Gelang Patah menentang Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Beliau yang juga Pengerusi Jentera Pilihan Raya BN berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah pun bercakap dengan Teoh menerusi telefon, memberikan pandangannya tentang keputusan di sebalik pencalonan Abdul Ghani di Gelang Patah.

"Saya harap apabila sudah dijelaskan, Jason akan berbincang dengan MCA dan memaklumkan semua perkara dan saya harap semua pihak membantu.

"Mungkin kali ini beliau tidak bertanding, mungkin (beliau akan bertanding) pada masa depan," katanya - di petik dari Kosmo

1 comment:

man said...

Ibrahim Ali tak dipilih sebab umno nak ambil hati orang kaum i.... .Pekasa patut letak calun bebas dimana kaum i.... bertanding.