Wednesday 10 April 2013

Nik Aziz tidak pegang kunci syurga


KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengaku beliau tidak memegang kunci syurga walaupun beliau sanggup melemparkan pelbagai tuduhan terhadap orang UMNO yang dikatakan tidak mengamalkan ajaran Islam.

Ketika menjawab kenyataan sinis Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyifatkan Mursyidul Am Pas itu gagal mencerminkan dirinya sebagai orang yang tinggi ilmu agamanya, Nik Aziz berkata:

"Betul saya tak pegang (kunci syurga) tapi saya pegang akidah. Tak ada orang pegang kunci syurga, Nabi Muhammad tak pegang kunci syurga."

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui di kediamannya di Pulau Melaka dekat sini semalam.

Ketika diminta mengulas kenyataan mengarut Nik Aziz terhadap UMNO dalam satu sidang akhbar di Seremban kelmarin, Mohamad dilaporkan berkata:

"Kalaupun marah sangat dengan UMNO, janganlah cakap macam tu. Juga, cerita sembahyang orang UMNO tiada pahala, kau siapa hendak kata begitu. Saya hendak tanya, dia pemegang kunci syurga ke?"

Ketika diminta mengulas tindakan ulama pondok menerusi Minda Pondok, Ikatan Cendekiawan Islam Kelantan dan Yayasan Pondok Malaysia yang mengeluarkan deklarasi bahawa haram bagi umat Islam mengundi pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Nik Aziz mengeluarkan satu lagi tuduhan terhadap UMNO.

Beliau menyifatkan UMNO sebagai parti yang haram untuk dipilih pada PRU-13.

Katanya, sekiranya mengundi Pas itu adalah haram sebagaimana didakwa oleh ulama pondok itu, bermakna tidak ada parti di negara ini yang boleh diundi terutamanya UMNO kerana parti tersebut dipelopori orang Melayu yang menolak Islam.

Beliau berkata, para pemimpin UMNO didapati meletakkan taraf mereka seperti 'tuhan' kerana sesuka hati membuat keputusan menolak dan menerima sesuatu perkara yang berkaitan dengan agama.

"Bila tolak Islam, dia (UMNO) nak bawa hala agama mana, pemimpin UMNO nak bawa Melayu pada agama apa? Pada agama Islam tak bolehlah, dia tolak dah.

"Oleh yang demikian, kalau ada parti di Malaysia ini yang haram diundi, UMNO lah yang pertama diharamkan.

"Pemimpin UMNO ini letak taraf dia serupa dengan 'tuhan', berasa nak tolak, tolak, berasa nak terima, terima. Ini jahat," katanya

Tambahnya, pemimpin UMNO menolak Islam dan tidak melaksanakan undang-undang Islam semata-mata untuk menjaga hati sekutunya MIC dan MCA. - sumber KOSMO

1 comment:

Anonymous said...

nik aziz tak layak bercerita tentang dosa atau pahala. tapi beliau layak duduk di neraka jahanam saja