Tuesday 9 April 2013

Polis Johor terima tambahan 145 motosikal untuk anggota URB


JOHOR BAHRU - Anggota polis Johor menerima 145 buah motosikal berkuasa tinggi dalam usaha meningkatkan keupayaan polis memerangi jenayah.

Penerimaan itu juga merupakan fasa kedua selepas polis negeri ini menerima sebanyak 74 buah motosikal jenis sama pada 19 Disember tahun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, jumlah keseluruhan yang diterima polis Johor ialah sebanyak 219 buah dan akan digunakan oleh anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) untuk memeriksa dan membuat rondaan.

"Anggota URB ini akan membuat rondaan 24 jam di sekitar kawasan yang dilihat boleh mengundang pelbagai kejadian jenayah.

"Selain itu, URB juga dijadikan medium bagi anggota polis untuk beramah mesra dengan masyarakat dan mendapat serta memberikan maklumat - maklumat terkini berhubung aktivit jenayah," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Motosikal Kepada Anggota Unit URB sebentar tadi.

Sementara itu, beliau memberitahu, sejak URB ditubuhkan pada 19 Disember lalu, polis negeri ini berjaya menyelesaikan 54 kes melibatkan kes ragut, mencuri dan cubaan melakukan jenayah. - sumber KOSMO!

No comments: